

Ada hamba Allah yang tidak jemu berdoa. Ada pula yang tidak atau kurang berminat untuk berdoa kerana doa mereka tidak dikabulkan Allah. Mereka mudah berputus asa sebelum bermuhasabah, menilai diri sendiri, mencari kesalahan dan kesilapan atau sebarang kemungkinan yang menjadi punca doa ditolak.
Perlu diketahui, selain perlakuan dosa, makanan, minuman atau pakaian dari sumber haram adalah punca doa tidak diterima Allah. Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “Seorang lelaki yang berkelana jauh dengan rambutnya kusut masai dan pakaian penuh debu, menadah tangannya sambil berdoa; `Ya Allah, ya Allah’, sedang makanannya daripada yang haram, pakaiannya daripada yang haram, dan dibesarkan dengan makanan haram, bagaimana Allah akan mengabulkan doanya itu?” (Hadis riwayat Muslim).
Orang tidak akan serik berdoa, sekiranya diketahuinya, bahawa amalan berdoa itu adalah satu ibadah dan inti segala ibadat.
Dengan berdoa, seseorang hamba Allah memperlihatkan ciri kehambaannya kepada Allah, sekali gus merapatkan perhubungan di antara dirinya dengan Tuhannya dan berlakulah amalan bertaqarrub di antara makhluk dan khalik.
Ini cukup jelas. Sebab, tidak tercetus doa daripada seorang hamba Allah yang di hatinya tiada rasa hina, rendah diri, daif dan pasrah kepada kekuasaan dan kebesaran Allah.
Ibadah berdoa amat digalakkan. Allah menyuruh hamba-Nya berdoa kepada-Nya, sebagaimana firman-Nya yang bermaksud : “Berdoalah kepada-Ku, nescaya aku perkenankan bagi kamu...” (Surah al-Mukmin, ayat 60). Firman-Nya lagi bermaksud :”Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (ya Muhammad) mengenai aku (jauh atau dekat), maka sesungguhnya aku amat hampir, aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila a berdoa (kepada-Ku). (Surah al-Baqarah, ayat 186).
Sama ada untuk bertaqarrub dengan Allah atau sekali gus ingin doa dikabulkan-Nya, maka ibadah berdoa itu perlu dilakukan dengan penuh ikhlas dan syarat berdoa hendaklah dipatuhi sepenuhnya.
Pemilihan masa atau waktu berdoa juga perlu dititikberatkan.
Sebaik-baik berdoa itu dilakukan pada waktu, hari dan bulan pilihan. Bulan pilihan yang berkat dan mustajab untuk doa ialah bulan mulia dalam Islam, khususnya Ramadan. Antara hari pilihan (siang atau malam) ialah Jumaat, hari ‘Arafah, hari Asyura dan hari mulia lain dalam sejarah Islam. Sementara waktu/saat pilihan pula ialah:
l Waktu di antara azan dan iqamah. Rasulullah saw pernah bersabda, maksudnya:
“Doa di antara azan dan iqamah itu tidak ditolak.” (Abu Dawud dan al-Tirmizi daripada Anas).
l Ketika sujud dalam sembahyang. Rasulullah saw pernah bersabda, maksudnya:
“Keadaan hamba Allah yang paling hampir dengan Tuhannya ialah ketika dia sujud, maka banyakkanlah kamu berdoa ketika sujud itu.” (Muslim daripada Abu Hurairah).
l Ketika berpuasa. Rasulullah saw pernah bersabda, maksudnya: “Orang yang berpuasa itu tidak ditolak doanya.” (Al-Tirmizi dan Ibnu Majah daripada hadis Abu Hurairah).
l Waktu dinihari (sahur). Rasulullah saw pernah bersabda, maksudnya:
“Allah menurunkan rahmat ke langit yang pertama ketika tinggal sepertiga terakhir setiap malam, maka Allah berfirman, “Sesiapa yang berdoa kepada-Ku, maka aku perkenankan baginya; sesiapa memohon sesuatu daripada-Ku, maka aku berikan dia dan sesiapa meminta ampun daripada-Ku, maka aku ampuni dia.” (Al-Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah).
l Ketika terbit matahari.
l Ketika gelincir matahari.
l Pada akhir waktu Asar (waktu ikhtiar).
l Ketika menjelang masuk matahari (ghurub). Mengikut Saidatina Fatimah, “Saat inilah yang dimaklumkan oleh bapaku, Rasulullah saw, saat yang makbul lagi mustajab.” (Riwayat al-Daraqutni daripada Fatimah).
l Ketika khatib naik ke atas mimbar untuk membaca khutbah.
l Pada waktu khatib duduk di antara dua khutbah.
l Ketika berdiri untuk sembahyang (qiam).
l Selepas mengerjakan sembahyang.
l Ketika hujan.
l Dalam ketakutan.
l Ketika berhiba hati.
l Satu waktu pada hari Jumaat yang disebut sebagai “saat yang mulia” (nafahat). Waktunya yang tepat tidak dijelaskan.
Selain memilih masa dan waktu, berdoa perlu dilakukan mengikut adab seperti berikut:
l Mengadap kiblat. Diriwayatkan, bahawa Rasulullah saw datang ke tempat wukuf di padang Arafah, lalu baginda duduk mengadap kiblat dan berterusan berdoa hingga maghrib. (Hadis riwayat Muslim daripada Jabir bin Abdullah).
l Mengangkat kedua-dua tangan setinggi kira-kira terdedah bahagian bawah ketiak dan kedua-dua telapak tangan terdedah ke arah muka, seperti dilakukan oleh Rasulullah saw.
l Tidak mendongak ke langit kecuali ketika berdoa selepas berwuduk.
l Memulakan doa dengan menyebut nama Allah, puji-pujian kepada Allah dan bersalawat kepada Rasulullah saw. Selepas itu barulah menyebut dan memohon hajat.
l Mengakhiri doa dengan selawat dan tahmid.
l Berdoa dengan lafaz doa Rasulullah saw. Imam al-Ghazali berkata : “Lafaz doa Rasulullah saw yang turut diamalkan oleh sahabat dan tabi’in itu hendaklah diwarisi dan diamalkan.”
l Menyapu muka dengan kedua-dua telapak tangan sebaik doa berakhir.
l Bertaubat daripada semua dosa. Doa pelaku dosa yang tidak bertaubat tidak akan dikabulkan Allah.
l Berdoa tanpa meninggikan suara. Ucapan doa sebaik-baiknya adalah dengan suara di antara terdengar dan tidak. Allah berfirman, maksudnya: “Serulah (berdoalah) kepada Tuhan kamu dengan merendahkan diri dan suara perlahan-lahan.” (Surah al-A`raf, ayat 55).
Rasulullah saw bersabda, maksudnya: “Hai manusia, sesungguhnya Tuhan yang kamu serukan doa itu tidak tuli dan tidak berjauhan. Sesungguhnya Tuhan yang kamu seru itu adalah di antara kamu dan leher kenderaan kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Berkata Siti Aisyah : “Maksud Firman Allah: “Jangan engkau nyaringkan selawatmu dan jangan engkau perlahankan.” (Surah al-Israk’, ayat 110) itu adalah ditujukan kepada orang berdoa”.
l Meningkatkan rasa rendah hati dan diri serta kesangatan berhajat kepada pertolongan dan kurniaan Allah, di samping berasa takut kepada-Nya. Allah berfirman, maksudnya :
“Sesungguhnya mereka itu ialah orang yang berlumba-lumba dalam berbuat segala kebajikan dan mereka berdoa kepada kami dengan penuh harapan dan ketakutan. Dan mereka adalah orang khusyuk kepada Kami.” (Surah al-Anbia, ayat 90).
l Berkeyakinan penuh bahawa doa akan dikabulkan oleh Allah. Rasulullah saw bersabda, mafhumnya:
“Janganlah salah seorang dari kamu mengatakan: “Ya Allah, ampunilah aku jika Engkau menghendaki, rahmatilah aku jika Engkau menghendaki”, tetapi hendaklah berkeinginan kuat dalam permohonannya itu kerana sesungguhnya Allah tiada sesuatu pun yang memaksa-Nya untuk berbuat sesuatu.” (Hadis riwayat Abu Daud daripada Abu Hurairah).
l Bersabar. Tidak terlalu ingin doa dikabulkan dengan segera. Rasulullah saw bersabda, maksudnya:
“Tentu doa seseorang akan dikabulkan oleh Allah, selama orang itu tidak terburu-buru (ingin dikabulkan), iaitu dengan mengatakan; “aku telah berdoa tetapi doa itu tidak juga dikabulkan Tuhan!” – Muttafaqun Alaih.
Rasulullah saw bersabda lagi, maksudnya: “Doa seseorang itu akan dikabulkan selagi dia tidak terburu-buru menyebabkan dia berkata: aku berdoa tetapi tidak dimakbulkan.” (Hadis riwayat Bukhari & Muslim daripada Abu Hurairah).
l Tidak berdoa untuk meminta sesuatu keburukan atau yang tidak mendatangkan kebaikan. Rasulullah saw bersabda, maksudnya:
“Tidaklah seorang Muslim di atas bumi ini berdoa kepada Allah dengan suatu doa melainkan doanya itu akan dikabulkan-Nya, atau dihindarkan orang itu daripada bahaya sebanding dengan apa yang dimintanya, selama doa itu tidak mengandung dosa atau bermaksud hendak memutuskan silaturahim...” (Hadis riwayat al-Tirmidzi, disahihkan oleh al-Hakim).
Baginda bersabda lagi, maksudnya:
“Janganlah kamu berdoa buruk terhadap dirimu, begitupun terhadap anak-anakmu, dan terhadap harta bendamu. Jangan sampai nanti doamu itu bertepatan dengan suatu saat Allah sedang memenuhi permohonan, hingga doa burukmu itu benar-benar terkabul.” (Hadis riwayat Muslim).
l Menyedari, bahawa amalan berdoa itu akan mendatangkan pahala. Manfaat daripada doa itu tidak terjejas walaupun tidak dikabulkan. Apa yang penting bagi hamba Allah ialah berdoa seikhlasnya, manakala soal penerimaan doa itu terpulang kepada Allah. Ulama mengatakan, ada kemungkinan Allah akan menunda kemakbulan doa sehingga pada hari kiamat sebagai syafaat.
Berkata Umar bin Al-Khattab: “Aku tidak terlalu mementingkan terkabulnya doa tetapi yang terpenting bagiku adalah doa itu sehingga apabila kepentinganku adalah berdoa maka ijabahnya akan mengikutinya.”
Mengenai doa yang tidak terkabul, perlu juga diketahui rahsia atau puncanya. Diriwayatkan, Rasulullah saw menjelaskan hal ini dalam sabdanya yang bermaksud:
“Hai manusia! Allah memerintah kamu supaya kamu menyuruh orang berbuat baik dan melarang mereka daripada melakukan maksiat; kalau tidak, akan tiba satu masa manakala kamu berdoa kepada-Nya, Dia tidak akan menghiraukan doa kamu. Kamu akan memohon keperluan kamu daripada-Nya tetapi Dia tidak akan mengurniakannya; kamu akan memohon akan bantuan-Nya dalam memerangi musuh kamu, tetapi Dia tidak akan membantu kamu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ibnu Hibban daripada Siti Aishah).
Pernah seorang lelaki bertanya kepada Ibrahim bin Adham, mengapa doanya tidak dikabulkan Allah walau dilakukannya berkali-kali.
Ibrahim menerangkan sebabnya: “Pertama, kamu mengenal Allah tetapi tidak menunaikan hak-Nya. Kedua, kamu membaca al-Quran tetapi tidak mengamalkan apa yang terkandung dalamnya.
“Ketiga, kamu mengatakan cinta kepada Rasulullah saw tetapi sunnahnya kamu tinggalkan. Keempat, kamu mengatakan kamu melaknati iblis tetapi kamu mengikutinya. Kelima, kamu tidak melihat aib pada diri kamu kerana sibuk mencari aib orang lain.”


No comments:
Post a Comment
Jangan takut nak komen,aku bukan makan orang pun..hahah